Sedar atau tidak sebenarnya tugas yang dilakukan oleh warga guru adalah tugas yang amat berat iaitu usaha untuk ‘memanusiakan’ manusia, untuk membentuk insan bersahsiah dan bermoral tinggi serta sentiasa menyeru murid-muridnya ke arah kebaikan. Sebagaimana firman Allah dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud ;
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Siapakah yang lebih baik kata-katanya daripada seseorang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata : sesungguhnya aku dari kalangan orang Islam.
Warga guru sebenarnya menyambung dakwah Rasulullah saw iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh para pelajar. Sebagaimana sabda Rasulullah saw
من رأى منكم منكراً فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان
Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan. Sekiranya tidak mampu maka cegahlah dengan lidah. Sekiranya tidak mampu maka cegahlah dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman.( Imam Muslim )
Kerjaya ini juga akan dapat saham akhirat yang tidak putus-putus dengan ilmunya yang diambil manfaat oleh pelajarnya dan mengamalkan hadis Rasulullah saw ;
قال إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثة صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
Apabila meninggal dunia seseorang maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara ; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya. ( Imam Muslim)
Semua yang disebut di atas akan diperolehi sekiranya dilakukan semata-mata untuk mencari reda Allah. Dengan kata lain niat hendaklah ikhlas. Alangkah ruginya sekiranya tugasan yang dilakukan hanya kerana menjalankan tanggungjawab mengajar semata-mata, cukup bulan dapat gaji dan elaun. Langsung tidak fikirkan macam mana dengan ibadat mereka, akhlak mereka dan masa depan mereka.
No comments:
Post a Comment