Saturday 13 April 2013

Assalamualaikum semua...

Dah lama sangat Cikgu tak post kat dalam blog ni...
Bz sangat dengan tugasan harian, hingga terlupa nak "Sharing is Caring" dengan semua...

Post kali ni cikgu nak kongsi jangkitan2 yang berlaku pada sistem perkumuhan...
(since sekarang form 5 tengah belajar tajuk Coordination and response kan...)
so, harap2 ia dapat menambah pengetahuan kita sedikit sebanyak...have fun


Jangkitan saluran air kencing



Bagi individu yang sihat, air kencing yang terdapat didalam pundi kencing adalah dalam bentuk sterile iaitu tiada bakteria ataupun organisma-organisma yang boleh mengakibatkan jangkitan didalam air kencing tersebut. Begitu didalam saluran kencing yang mengalirkan air kencing dari pundi kencing keluar dari tubuh badan  juga tidak mengandungi bakteria atau terlalu sedikit yang boleh menyebabkan sebarang jangkitan. Walau bagaimanapun mana-mana bahagian saluran air kencing boleh mendapat jangkitan dan ia disebut sebagai jangkitan saluran air kencing (Urinary tract infection-UTI).

Punca-punca jangkitan saluran air kencing
  • Jangkitan saluran air kencing biasanya berpunca daripada bakteria, virus, kulat, dan parasit.
  • Jangkitan yang bermula daripada hujung saluran urethra seperti dihujung zakar bagi lelaki dan dihujung vulva bagi perempuan.
  • Jangkitan daripada aliran darah yang biasanya terus ke buah pinggang.
  • Jangkitan bakteria daripada usus atau vagina.

jangkitan bakteria
Biasanya bakteria jenis Escherichia coli merupakan punca utama jangkitan pada saluran kencing dan pundi kencing. Bakteria jenis Proteus pula mudah membiak apabila seseorang itu mempunyai batu karang.

Jangkitan virus
Virus jenis herpes simplex type 2 (HSV-2) boleh menjangkiti saluran urethra dan menyebabkan penyakit jangkitan saluran air kencing. Gejalanya adalah rasa sakit ketika buang air kecil dan sukar untuk mengosongkan pundi kencing.

Jangkitan kulat
Sesetengah kulat atau yis boleh menjangkiti saluran air kencing. Salah satu jenisnya adalah Candida yang menyebabkan Candidiasis. Paling jarang berlaku adalah jangkitan daripada kulat jenis Blastomyces yang menyebabkan blastomycosis dan juga kulat jenis Coccidioides yang menyebabkan cidiomycosis. Kedua-dua kulat ini menyebabkan jangkitan saluran kencing. Kulat dan bakteria boleh menjangkiti buah pinggang dalam masa yang sama.

Jangkitan parasit
Pelbagai jenis parasit termasuklah sesetengah jenis cacing boleh menjangkiti saluran kencing. Penyakit seperti Trichomoniasis merupakan contoh penyakit yang terjadi akibat jangkitan parasit mikroskopik.  Selain daripada itu ia juga boleh mengakibatkan inflamasi prostat (prostatitis), Schitosomiasis (akibat cacing) boleh melibatkan buah pinggang, ureter dan pundi kencing, ia boleh mengakibatkan kanser pundi kencing jika berlaku secara terus menerus. Selain daripada itu parasit yang menyebabkan penyakit malaria boleh memusnahkan salurah darah halus (glomeruli) buah pinggang atau memusnahkan sel darah merah secara berterusan hingga mengakibatkan kegagalan buah pinggang akut.

Jenis-jenis penyakit jangkitan saluran air kencing (Urinary tract infections-UTI)

Urethritis

Jangkitan pada urethra iaitu saluran air kencing yang mengalirkan air kencing keluar daripada pundi kencing.

Punca
Jangkitan bakteria, kulat atau virus. Bagi orang perempuan organisma tersebut datang daripada vagina atau daripada usus kemudian terus ke vagina melalui anus. Bagi lelaki dan perempuan, jangkitan boleh berlaku akibat hubungan seks.

Gejala
  • Kesakitan ketika buang air kecil.
  • Kerap buang air kecil dan tergesa-gesa.
  • Rasa seperti air kencing berasid dan sakitnya panas membakar.
  • Bagi orang lelaki, keluar cecair yang mengandungi nanah bewarna hijau kekuningan.
Komplikasi
Jangkitan gonorrhea jika tidak dirawat boleh menyempitkan saluran urethra dan ia menyebabkan jangkitan turut boleh merebak hingga ke pundi kencing (Cystitis) ataupun hingga ke buah pinggang (Pyelonephritis). Ia juga boleh menyebabkan pengumpulan nanah (bisul) sekitar urethra. Apabila bisul terjadi pada dinding urethra ia akan membentuk urethral diverticula. Bisul tersebut boleh menghasilkan lubang pada dinding urethra dan mengakibatkan air kencing mengalir keluar menerusi lubang tersebut yang dikenali sebagai urethral fistula.

Cystitis

Jangkitan pada pundi kencing iaitu kantung (pundi) yang mengumpulkan air kencing. Penyakit ini kerap berlaku pada perempuan berbanding lelaki.

Punca

Perempuan

Biasanya bagi perempuan jangkitan tersebar dari dubur.
  • Mudah mendapat jangkitan kerana jarak urethra dengan vagina terlalu dekat.
  • Jangkitan berlaku sama ada daripada vagina, atau daripada anus (lubang punggung) yang dekat dengan vagina.
  • Hubungan seksual turut memainkan peranan dalam menyebarkan jangkitan terutamanya apabila berlaku kecederaan pada urethra dan menyebabkan terbentuknya bakteria dan merebak hingga ke pundi kencing.
  • Wanita hamil cenderung mendapat jangkitan apabila ketika hamil mereka sukar untuk mengosongkan pundi kencing.
  • Terdapat juga masalah lain yang boleh menyebabkan jangkitan berlaku atau terjadi lagi seperti penyakit vesicovaginal fistula iaitu terdapat sambungan yang tidak normal antara pundi kencing dan juga vagina. Namun ia jarang berlaku.
  • Uterus yang terjatuh boleh menganggu pundi kencing dimana ia akan mengakibatkan kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing dan meningkatkan kecenderungan dan risiko mendapat jangkitan pada pundi kencing.

Lelaki
  • Jangkitan biasanya bermula daripada urethra dan merebak hingga ke prostat, kemudian jangkitan merebak hingga ke pundi kencing.
  • Cytitis mudah berlaku dan kerap berulang jika seseorang itu kerap mengalami jangkitan pada prostat.
  • Jangkitan pada pundi kencing juga boleh berpunca daripada alat-alat diagnosis dan pembedahan.
  • Aliran air kencing yang tersekat akibat batu karang, prostat membesar dan sebagainya boleh menyebabkan air kencing yang telah terkena jangkitan berkumpul pada bahagian tersebut.

Bagi lelaki dan perempuan, masalah seperti vesicoenteric fistula iaitu sejenis sambungan abnormal yang terbentuk di antara pundi kencing dengan usus boleh menyebabkan udara serta bakteria yang boleh menghasilkan gas terlepas dan masuk ke dalam pundi kencing. Bakteria ini kemudian membiak di dalam pundi kencing. Apabila seseorang itu buang air kecil akan kelihatan air kencingnya berbuih-buih (Pneumaturia). Selain daripada itu, pundi kencing boleh meradang (inflamasi) tanpa tanda-tanda jangkitan. Ia disebut sebagai interstital cystitis)

Gejala
  • Kerap buang air kecil terutamanya waktu malam (nocturia) dan tergesa-gesa untuk buang air kecil.
  • Rasa kesakitan seperti panas membakar.
  • Air kencing biasanya keruh dan mengandung
  • Adakalanya disertai dengan demam.
  • Rasa sakit boleh dirasai pada bahagian bawah pusat dan juga dibahagian belakang badan.


Ureteritis

Ureteritis adalah keadaan dimana salah satu atau kedua-dua ureter iaitu tiub yang menyambungkan buah pinggang dengan pundi kencing mengalami jangkitan.

Punca
Jangkitan biasanya berlaku dan merebak dari buah pinggang atau pundi kencing.
Aliran air kencing yang terlalu perlahan akibat gangguan saraf pada bahagian ureter.

Pyelonephritis

Keadaan dimana berlakunya jangkitan pada salah satu buah pinggang atau kedua-duanya sekali. Ia biasanya berlaku pada golongan perempuan berbanding lelaki.

Punca
  • 90% daripada punca pyelonephritis adalah dari bakteria Escherichia coli yang boleh dijumpai dalam usus besar.
  • Jangkitan biasanya bermula dari bahagian kemaluan, kemudian ke urethra, seterusnya naik hingga ke pundi kencing hinggalah ke ureter dan buah pinggang.
  • Bagi individu yang mempunyai saluran atau aliran air kencing yang normal, sebarang organisma yang terdapat didalam sistem ini akan dibersihkan apabila berlaku aliran air kencing. Namun bagi individu yang mempunyai masalah dalam sistem ini seperti penyumbatan saluran air kencing, batu karang, masalah prostat dan lain-lain akan menyukarkan pembersihan saluran air kencing apabila aliran air kencing terganggu.
  • Jangkitan buah pinggang juga boleh berlaku berpunca daripada jangkitan bahagian lain seperti jangkitan kulit akibat Staphylococal dimana jangkitan ini akan merebak melalui aliran darah ke buah pinggang.

Risiko
Bagi mereka yang mempunyai masalah penyumbatan saluran ureter, kencing manis, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah serta perempuan hamil boleh meningkatkan lagi risiko penyakit.

Gejala
Demam
Sakit-sakit badan terutamanya pada bahagian bawah.
Loya dan muntah-muntah
Kerap buang air kecil
Rasa sakit ketika buang air kecil
Jika tidak dirawat, risko jangkitan pada bahagian atau organ lain bertambah, pembentukan batu karang dan kerosakan buah pinggang.

Jika anda pernah mengalami gejala-gejala yang telah disebutkan, sila buat pemeriksaan dengan segera kerana buah pinggang merupakan organ yang sangat penting dan perlu sentiasa dijaga kerana selain daripada penyakit, faktor usia juga boleh mengubah tahap buah pinggang kita. Amalkan corak hidup yang lebih sihat dengan menjaga pemakanan dan minuman, mengurangkan pengambilan bahan-bahan yang boleh merosakkan buah pinggang seperti ubat-ubatan tertentu serta amalkanlah senaman yang boleh meningkatkan lagi kesihatan tubuh badan kita.

No comments:

Post a Comment